Kamis, 31 Maret 2011

KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

KEUTUHAN BUDAYA DAN MORAL

Usaha negara-negara moden pada abad ke-20 untuk mencapai matlamat pembangunan ekonomi yang pesat, kemajuan teknologi yang membanggakan dan modenisasi masyarakat secara menyeluruh telah berjaya menjadikan negara-negara tersebut terkenal sebagai “developed” (maju), “advanced” (terkehadapan) atau “fully industrialised countries” (negeri-negeri yang telah mencapai kemajuan perindustrian sepenuhnya). Tetapi kemajuan dan modernisasi yang dicapai khususnya oleh negara-negara Barat itu juga telah menghasilkan, pada umumnya, kelunturan nilai-nilai budaya, kelonggaran nilai-nilai moral dan keterasingan nilai-nilai agama. Banyak negara umat Islam yang baru mencapai kemerdekaan politik daripada kongkongan penjajahan Barat turut melaksanakan model pembangunan atau modernisasi negara ala Barat dan natijahnya, antara lain, ialah proses pembaratan budaya tempatan dan pencairan nilai-nilai moral yang merisaukan. Modernisasi sekular yang digembar-gemburkan sebagai agenda perubahan yang rasional dan teknologikal rupa-rupanya telah menanamkan akar-akar budaya asing atau westernisasi dan sekularisasi yang bertentangan dengan ajaran agama dan sistem moral orang Islam atau orang Timur. Apabila budaya tempatan sudah tidak berdaya lagi menahan arus westernisasi dan sistem moral keagamaan pun menjadi lemah di bawah tekanan dan asakan sistem moral yang liberal, relatif dan agresif, maka negara dan rakyat sekali lagi akan menjadi mangsa neo-kolonialisme budaya. Pada waktu itu identiti budaya dan keutuhan moral masyarakat kita tidak akan bererti lagi.

2. CABARAN GLOBALISASI DAN TEKNOLOGI MAKLUMAT



Memasuki abad ke-21, negara Malaysia dan umat Islam berhadapan pula dengan tiga gelombang besar – globalisasi, ledakan teknologi maklumat dan ekonomi pengetahuan atau maklumat (knowledge-driven economy). Ketiga-tiga gelombang ini juga bermula dari negara-negara Barat yang kaya dan kuat, dan dalam tata dunia yang baru (“New World Order”) di bawah pimpinan negara Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya, ketiga-tiga gelombang itu merupakan cabaran hebat yang sekaligus membuka peluang-peluang tertentu bagi negara-negara sedang membangun untuk berada dalam arus perdana dalam hubungan antarabangsa. Melalui gelombang globalisasi, pengaruh kekuatan ekonomi negara-negara kaya dan kepentingan korporasi gergasi multinasional dapat menguasai ekonomi dunia di samping menyebar luaskan hegemoni politik kapitalisme antarabangsa.

Di bawah dasar liberalisasi dan deregulasi perdagangan antarabangsa pimpinan World Trade Organisation, globalisasi yang didukung oleh kuasa korporat global memberikan peluang besar kepada mereka untuk mengeksploitasi ekonomi negara-negara membangun, termasuk Malaysia. Situasi ini akan mempercepatkan proses homogenisasi budaya secara global di mana negara yang kuat akan mempengaruhi negara yang lemah. Pada waktu itu ciri-ciri luhur dalam budaya Malaysia dan sistem nilai agama dan tradisi yang mendasarinya akan dihimpit dan digugat oleh gagasan-gagasan atau aliran-aliran kebudayaan asing yang berjiwa materialistik, sekularistik, relativistik, neo-modernistik, hedonistik atau permissive (serbaboleh). Aliran-aliran yang ingin melemahkan pengaruh nilai-nilai budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu tanggungjawab sosial atau moral. Pelbagai saluran akan digunakan untuk mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk industri-industri pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan, pelancongan, media cetak, media elektronik dan Internet.

Dalam masyarakat yang sarat dengan nilai-nilai kebebasan individu di luar kawalan agama dan pandangan hidup sekularistik, telah muncul di akhir abad ke-20 gerakan-gerakan sosial yang memperjuangkan kebebasan seks, penggunaan marijuana, hak pengguguran anak, kebebasan pelacur-pelacur (yang dikenali sebagai “sex workers”), perkahwinan sejenis dan hari-hari perayaan golongan “gay” yang disambut secara besar-besaran. Satu contoh gerakan yang benar-benar merbahaya dan mencabar budaya manusia bertamadun dan nilai-nilai agama tradisional dan moral yang suci ialah perjuangan masyarakat liberal Barat untuk menjayakan konsepsi keluarga yang tidak lagi terdiri dari lelaki dan perempuan, suami isteri dan anak-anak yang sah. Konsep ini diperjuangkan pertama kali dalam persidangan United Nations Conference on Population and Development di Cairo pada 1994 dan kemudian di Beijing pada tahun 1995. Seiring dengan itu diperjuangkan juga supaya dihalalkan hubungan seks sebelum nikah kerana hal ini sudah menjadi lumrah di negara-negara maju teknologi. Aliran-aliran seperti ini, sama juga dengan aliran-aliran sastera bebas ala Salman Rushdie, bertitik tolak daripada sikap atau keyakinan sebahagian manusia moden bahawa nilai-nilai agama, budaya dan moral sudah lama ketinggalan zaman dan manusia dengan kepintaran dan kehebatan teknologi inteleknya sahaja boleh mendapat makna hidup dan kesejahteraan tanpa bimbingan agama samawi atau moral yang berteraskan ajaran agama.

Dengan kemajuan sains dan teknologi yang canggih, isu kejuruteraan genetik dan “cloning” tampil dengan pelbagai harapan untuk kemajuan bidang ilmu kedoktoran dan pertanian, tetapi ia juga mengundang beberapa persoalan besar serta kebimbangan yang mempunyai implikasi etika dan budaya yang sangat besar. Bagi sebuah tamadun yang tidak didirikan atas dasar agama, sains dan teknologi sahajalah yang menjadi sumber jawapan tentang baik buruknya sesuatu hasil penemuan sains atau halal haramnya sesuatu teknologi baru. Bagi umat Islam di Malaysia atau di mana sahaja yang berpegang teguh kepada agamanya, ketinggian tamadun tidak boleh dipisahkan daripada keteguhan agama dan keutuhan akhlak. Oleh yang demikian hasil kemajuan sains dan teknologi dalam sesuatu negara atau tamadun yang berteraskan Islam tidak ditolak selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran agama dan nilai-nilai moral yang luhur.

Kehebatan kemajuan ilmu sains dan teknologi manusia moden masa kini mungkin merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan negara-negara atau masyarakat moden merasa tidak perlu berpegang kepada ajaran agama tradisional atau menghormati sistem-sistem moral tradisional yang dianggap sudah lapuk dan tidak sesuai dengan kepentingan negara atau politik masing-masing. Di dalam dunia pasca Perang Dingin dan pasca keruntuhan ideologi Komunis, banyak sekali berlaku tindakan-tindakan ketenteraan, politik dan ekonomi negara-negara kuasa besar yang merupakan penindasan, kezaliman dan ketidakadilan terhadap negara-negara kecil bukan Barat termasuk negara-negara orang Islam seperti Bosnia-Herzegovina, Palestin, Afghanistan, Iraq, Libya, Sudan, Iran dan Syria. Tindakan-tindakan unilateral dan tidak berperikemanusiaan itu menunjukkan bahawa dalam tata dunia baru atau politik antarabangsa, “might is right” dan keunggulan kuasa ekonomi kapitalis-liberal membolehkannya menyebarluaskan pengaruhnya sesuka hati. Pemimpin-pemimpin negara atau parti pemerintah negara yang sedang membangun yang tidak mempunyai integriti moral yang utuh dan tidak berpegang kepada nilai-nilai budaya yang luhur akan mudah dimanipulasi untuk membuka jalan bagi membolehkan kemasukan kepentingan-kepentingan ekonomi, politik dan budaya pihak kuasa besar dalam negara berkenaan. Ini adalah sebahagian daripada cabaran globalisasi dan liberalisasi yang harus ditangani secara bijak oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.

3. KEBIMBANGAN TERHADAP KELUNTURAN BUDAYA DAN
MORAL



Cabaran terhadap keutuhan budaya dan moral umat daripada ledakan dan gelombang teknologi maklumat dalam era globalisasi kini tidak kurang hebatnya. Internet, umpamanya, membolehkan penggunanya menimba segala jenis ilmu pengetahuan dan maklumat dengan mudah, tetapi pada masa yang sama ia mengandungi banyak sekali maklumat yang bersifat destruktif, tidak bermoral dan bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan etika umat beragama. Pendedahan kanak-kanak, golongan remaja dan orang dewasa kepada bahan-bahan yang bersifat erotik dan lucah di dalamnya boleh menimbulkan sindrom ketagihan yang bakal merosakkan peribadi dan moral para penagihnya. Begitu mudah dan cepat sekali bahan pornografi atau laman “adult” berada di depan mata untuk menggugat iman seseorang pengguna hanya dengan beberapa taipan kata kunci pada papan kekunci lalu diklik pada tetikus untuk melakukan “dosa di hujung jari”. Baru-baru ini masyarakat Malaysia dikejutkan dengan penemuan Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-Kanak betapa kanak-kanak dengan mudah terdedah kepada 1.5 juta laman web lucah. Di samping itu kita diberitahu bahawa wujud 33 juta laman pornografi yang dikunjungi setiap hari oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Kelonggaran nilai-nilai budaya dan moral di kalangan belia dan muda-mudi beragama Islam yang dicerminkan oleh budaya penagihan dadah, gejala HIV/AIDS, keganasan juvana, vandalisme terhadap kemudahan-kemudahan awam, minuman keras, merokok, merogol, meragut dan melepak menimbulkan kebimbangan yang mendalam tentang masa depan generasi muda, apa lagi kalau keadaan ekonomi negara menjadi lembab dan kadar pengangguran semakin membesar.

Dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel baru-baru ini ramai peniaga melakukan penipuan dan tindakan-tindakan tidak beretika untuk meraih keuntungan, sementara ada bank-bank tempatan disyaki memanipulasi pasaran saham. Banyaknya kes-kes penipuan dalam pelbagai bidang pekerjaan di kalangan golongan dewasa sama ada dalam sektor swasta atau awam, menambah kebimbangan masyarakat tentang masa depan Malaysia menuju ke arah status negara maju pada tahun 2020.

Untuk mencapai matlamat kesejahteraan sosial dalam sebuah negara Malaysia yang maju, kerajaan dan rakyat harus berganding bahu membenteras gejala sosial yang mengkhuatirkan, termasuk budaya suka berjudi, sindrom ingin cepat kaya, budaya tidak menepati waktu, tabiat suka mengotor, budaya mengejar glamor dan populariti murahan anjuran T.V. dan budaya fitnah memfitnah dalam dunia politik.

Ketinggian dan kemajuan tamadun sesuatu bangsa boleh diukur dari segi kualiti manusianya dan pencapaiannya – merangkumi dimensi-dimensi kebendaan, agama, keintelektualan, sains dan teknologi, kebudayaan, sistem ekonomi, sistem politik, sistem sosial, sistem pertahanan, sistem perundangan dan adat istiadat. Tetapi nilai-nilai kerohanian dan moral bangsalah yang menjadi asas keutuhan budaya. Dari perspektif Islam, keutuhan budaya dan moral merupakan kriteria penting di dalam menilai makna kemajuan atau tamadun sesuatu bangsa.

Undang-undang Tuhan dan undang-undang ciptaan manusia juga bertujuan untuk mencegah perbuatan yang tidak berakhlak atau beretika dan membangun masyarakat yang berakhlak mulia. Dengan adanya warga negara yang berkelakuan dan berinteraksi sesama manusia mengikut lunas-lunas budaya yang baik dan nilai-nilai akhlak yang terpuji, masyarakat dan negara akan menikmati keamanan, keharmonian dan kesentosaan. Apabila budaya yang baik dan akhlak yang terpuji luntur, terhakis atau menjadi lemah maka kehidupan masyarakat akan dipenuhi dengan gejala kemungkaran, penipuan, kemaksiatan dan keganasan. Apabila para pemimpin atau golongan berkuasa tidak lagi berpegang kepada budaya yang baik dan akhlak yang terpuji, negara atau tamadun akan menjurus ke arah kehancuran.

Inilah yang dapat kita pelajari daripada kajian sejarah naik turunnya tamadun-tamadun besar dunia zaman silam, seperti tamadun Yunani, Mesir, Rom dan China. Kehebatan teknologi, ketenteraan dan kebendaan tidak dapat menyekat proses keruntuhan dalamannya yang bermula dari kerosakan-kerosakan moral dan etika golongan-golongan atasan, para penguasa dan para pembesar negara. Kerana itulah al-Qur’an berkali-kali menyeru supaya manusia menjelajah bumi dan mengkaji sejarah tamadun-tamadun zaman silam untuk mengetahui sebab-sebab kehancurannya dan kemusnahannya, lalu mengambil iktibar supaya hal-hal yang sama dapat dihindari dan dijauhi demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat dan tamadun yang muncul kemudian.

Kita di Malaysia sudah pasti tidak mahu berada dalam keadaan di mana kemajuan ekonomi dan teknologi negara meningkat dan menyamai negara-negara maju tetapi gejala sosial, kemerosotan akhlak, ketidaksopanan dan ketandusan etika menjunam ke tahap yang parah dan sukar dipulihkan. Itulah sebabnya dalam Wawasan 2020 Malaysia mahu mencapai kemajuan mengikut “acuan kita sendiri” dengan mengintegrasi ajaran-ajaran agama, budaya yang baik dan nilai-nilai akhlak yang mulia dan terpuji.

4. KEUTUHAN BUDAYA DAN CABARAN-CABARAN TERHADAPNYA



Pendekatan Islam Hadhari bermatlamat mencapai kemajuan yang menyeluruh, bagi umat Islam dan juga negara Malaysia, termasuk dalam bidang budaya dan moral masyarakat. Oleh kerana ruang lingkup budaya itu luas dan ianya mengalami perubahan dari zaman ke zaman dan dari tempat ke tempat, pemilihan harus dibuat oleh pemimpin masyarakat dan pelaksana dasar ini untuk a) membangun, menyuburkan dan mengutuhkan aspek-aspek dan ciri-ciri budaya yang positif, membina dan bermanfaat, dan b) tidak menggalakkan, meninggalkan atau memberhentikan ciri-ciri budaya yang negatif, merosakkan dan tidak membantu proses pembangunan masyarakat atau negara yang hadhari. Langkah ini menepati prinsip pertama pendekatan Islam Hadhari iaitu “Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah” dan juga prinsip yang terkenal di dalam Islam sebagai “Amar Makruf dan Nahi Munkar” (menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran).
Budaya adalah sesuatu yang berubah mengikut perubahan masa dan tempat. Ada budaya yang menjadi penghalang kepada kemajuan masyarakat dan ada budaya yang membawa kepada kebaikan, kecemerlangan dan ketinggian bangsa dan negara. Budaya yang baik yang perlu kita suburkan sehingga ia menjadi benar-benar utuh dan mewarnai identiti positif umat Islam dan menaikkan imej negara Malaysia ialah budaya yang mengandungi ciri-ciri berikut:-

4.1 Penghayatan agama yang mantap, konsisten, bijaksana, harmonis, sederhana dan toleran; tidak fanatik, ekstremis atau kasar dalam hubungan dengan penganut agama-agama lain.
4.2 Penguasaan ilmu yang berguna dan pemberian nilai dan kehormatan yang tinggi kepada para ilmuwan, kesarjanaan dan kebijaksanaan; institusi-institusi pendidikan diberi keutamaan dan kebebasan akademik dan penyelidikan di pusat-pusat pengajian tinggi digalakkan; amalan membaca menjadi ciri masyarakat dan perbincangan atau wacana ilmiah disuburkan; ilmu aqli (intellectual knowledge) dan ilmu naqli (revealed knowledge) digabungkan supaya wujud keharmonian antara sains, teknologi dan agama.
4.3 Hormat dan patuh kepada Perlembagaan, undang-undang, peraturan-peraturan, perjanjian, kontrak sosial dan adat resam yang menghargai budi, sikap berterima kasih, sopan santun, bahasa yang beradab dan tingkah laku yang tidak kasar, biadab atau gelojoh.
4.4 Kebebasan and ketelusan institusi kehakiman yang menjamin keadilan dan kesamarataan di hadapan undang-undang atau hukum Tuhan; perlantikan para hakim yang dibuat di atas dasar yang objektif, telus dan adil, terlepas dari sebarang unsur bias, pengaruh kepentingan diri, keluarga atau parti; pengadilan yang tidak dipengaruhi oleh rasuah atau paksaan dari pihak eksekutif; para pelaksana hukuman yang menjalankan tugas dengan adil, cekap dan bermoral.
4.5 Pentadbiran dan pemerintahan yang cekap, amanah, mesra rakyat, mesra alam dan tidak tunduk di bawah pengaruh rasuah, bebas daripada penyalahgunaan kuasa atau kedudukan, bersih dari kronisme, nepotisme atau hubungan sulit dengan kepentingan-kepentingan perdagangan atau industri di dalam atau di luar negara; nilai-nilai dan prinsip integriti diterapkan di dalam setiap lapisan pengurusan, daripada pemimpin yang berada di atas kepada pekerja yang berada di bawah; rasuah dan penyalahgunaan kuasa dianggap bukan sekadar jenayah tetapi sebagai dosa besar di sisi agama.
4.6 Budaya politik yang demokratik, patriotik dan beretika; kuasa politik dianggap sebagai amanah Tuhan dan rakyat, bukan untuk memenuhi kepentingan diri atau keluarga tetapi untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara; parti politik adalah alat dan bukan matlamat, oleh itu perjuangannya tidak sampai terkeluar daripada batas moral atau menjejaskan perpaduan negara, keharmonian antara kaum dan antara agama serta kestabilan politik; kerjasama antara kaum dan perkongsian kuasa berdasarkan kepada prinsip menghormati perbezaan pandangan, menghormati peruntukan Perlembagaan dan menghormati ketetapan-ketetapan negara berkaitan dengan perkara-perkara sensitif seperti kuasa Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan hak-hak istimewa kaum Bumiputera; terdapat usaha yang jujur dan berkesan untuk mencegah dan menghapuskan budaya rasuah dalam parti politik yang jelas bertentangan dengan hukum dan nilai-nilai Islam serta etika.
4.7 Budaya kerja yang menekankan nilai kerajinan, ketekunan dan penjagaan waktu; wujudnya piawaian mutu produk dan produktiviti serta piawaian sistem pengurusan yang cekap dan efektif; wujudnya minda dan sikap yang menentang kemalasan, kecuaian dan ketidakseriusan dalam bekerja; wujudnya kefahaman yang meluas bahawa sebarang kerja yang baik dan berguna untuk kepentingan negara atau masyarakat adalah suatu jenis ibadah dan amal soleh yang mendapat ganjaran daripada Allah di dunia dan di akhirat; wujudnya sistem yang tidak menindas gologan pekerja.
4.8 Kedaulatan Bahasa Kebangsaan dijaga, dipupuk dan dipantau kemajuannya walaupun penguasaan bahasa-bahasa asing seperti Inggeris atau Jepun digalakkan; rakyat berbilang kaum dapat menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan masyarakat majmuk dengan baik di samping bahasa ibunda masing-masing; sikap pragmatisme ekonomi yang mengenepikan Bahasa Kebangsaan perlu dikawal atau dicegah.
4.9 Kegiatan kesusasteraan yang mendukung nilai-nilai murni, positif, membangun minda dan memajukan pemikiran rakyat; kemajuan dalam bidang puisi, novel, cerpen dan drama berjalan selari dengan wawasan kemanusiaan yang beradab dan kesucian agama.
4.10 Kesenian yang mengekalkan keaslian yang murni sambil mencari manifestasi-manifestasi baru dan kreatif tanpa mengorbankan nilai-nilai atau bentuk-bentuk asli yang indah dan bermakna; tidak wujudnya penggiat seni yang hidup di luar batas-batas kesusilaan atau budaya yang beretika.
4.11 Budaya pakaian yang menghormati batas-batas agama dan kesusilaan tradisional; aliran-aliran fesyen yang merupakan tiruan dunia fesyen barat atau timur untuk kepentingan kebendaan pereka-pereka fesyen yang tidak mengindahkan nilai-nilai moral atau agama tidak digalakkan; bagi orang Islam fesyen-fesyen pakaian yang menepati kehendak agama dan moral umat Islam boleh dipopularkan atau dipasarkan di dalam dan di luar negeri.
4.12 Adat makan minum yang tidak melibatkan perkara-perkara atau perlakuan haram walaupun bentuk-bentuk dan jenis-jenisnya sentiasa berubah mengikut selera pengguna semasa; kecenderungan ke arah ketagihan merokok dan meminum minuman keras di kalangan orang Islam perlu dikawal.
4.13 Budaya hiburan melalui muzik, tarian dan pementasan yang tidak melampaui batas kewajaran yang dibenarkan agama dan moral; kecenderungan pemuda pemudi beragama Islam untuk terlibat dalam budaya hiburan melalui konsert-konsert yang terlalu bebas kerana mengikuti aliran dan gaya baru Barat yang bersifat terlalu liberal dan memberangsang nafsu seks tidak harus dibiarkan merebak dan merosakkan tata susila dan norma-norma umat Islam; stesen-stesen TV milik kerajaan tidak wajar memberi galakan atau ruang dan masa yang istimewa kepada aliran-aliran atau program-program hiburan yang merendahkan akal budi generasi muda dan secara tidak langsung menggalakkan pergaulan bebas lepas antara lelaki dan perempuan walaupun program-program itu berhasil membawa keuntungan besar kepada pihak penaja dari luar atau dalam; mengekalkan budaya hiburan yang sederhana lagi mendidik minda dan tidak menjolok mata adalah penting dalam mengejar kemajuan mengikut “acuan kita sendiri” dan membenteras gejala sosial yang melanda golongan remaja Malaysia hari ini.
4.14 Tradisi keluarga yang memupuk nilai-nilai murni seperti keibubapaan yang bertanggungjawab, kehormatan dan kesetiaan anak kepada ibu bapa dan orang tua, perhubungan yang mesra antara generasi, ibu bapa yang menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam mendidik anak supaya berakhlak mulia sepanjang hayat, rumah tangga yang menjadi tempat perlindungan yang paling selamat, tenteram dan membahagiakan penghuninya; amalan hidup berjiran yang saling menghormati, bekerjasama untuk kesejahteraan sosial tanpa mengira kaum atau agama.
4.15 Adat perkahwinan yang menekankan nilai kesederhanaan dan tuntutan agama supaya ianya tidak dianggap oleh mereka yang ingin berkahwin sebagai suatu masalah besar yang terpaksa dipikul dengan beban hutang berpanjangan;
4.16 Kesenian tradisional atau moden yang tidak bercanggah dengan dasar iman dan akhlak mulia serta menyerlahkan identiti positif sesuatu kaum atau bangsa; kepelbagaian adat dan tradisi pelbagai kaum dan umat beragama dalam masyarakat Malaysia yang berinteraksi secara aman dan harmonis dipertahankan; aktiviti kebudayaan atau kesenian yang mengandungi unsur syirik, khurafat atau tahyul tidak dibenarkan kepada orang-orang yang beragama Islam.
4.17 Kegiatan menarik pelancong dari luar negara yang menonjolkan keunikan tempat-tempat percutian Malaysia, flora dan faunanya, cara hidup dan kebudayaan masing-masing kaum dan lain-lain tanpa merosakkan kesucian agama atau nilai-nilai moral masyarakat tempatan.
4.18 Kegiatan sukan untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat, kuat, berdaya saing dan terkenal dalam bidang-bidang tertentu tanpa meniru kelakuan-kelakuan atau kebiasaan-kebiasaan dari luar negara yang berlawanan dengan nilai-nilai moral masyarakat Malaysia; gelagat penonton tempatan yang tidak bersopan atau tidak menghormati undang-undang atau yang berakhir dengan keganasan jelas bercanggah dengan prinsip sukan yang berdisiplin dan beretika.
4.19 Kepimpinan masyarakat yang menekankan keutamaan memenuhi kepentingan orang ramai dan memberi perkhidmatan kepada rakyat secara amanah, bertanggungjawab dan berakhlak mulia sehingga dihormati dan diiktiraf sebagai orang-orang berkuasa yang mempunyai integriti tinggi sesuai dengan Dasar Integriti Nasional; perhubungan yang harmonis antara kaum, peningkatan semangat patriotik, semangat gotong royong dan perkhidmatan sukarela dari kalangan organisasi bukan kerajaan untuk kepentingan golongan miskin, golongan kurang upaya, golongan tua dan belia-belia bermasalah, serta keprihatinan terhadap kerosakan dan pencemaran alam sekitar harus menjadi agenda utama para pemimpin masyarakat dan wakil rakyat.
4.20 Tradisi menghidupkan bulan puasa di bulan Ramadan oleh umat Islam yang diisi dengan ibadat khusus di masjid-masjid seluruh Malaysia pada waktu malam tanpa menjurus kepada perbelanjaan terlalu besar di waktu siang; persiapan untuk merayakan Hari Raya Aidil Fitri harus dibuat mengikut garis panduan tradisi Islam yang menekankan semangat membantu golongan miskin dan melarat, kegigihan melawan dorongan hawa nafsu dan peningkatan ketakwaan kepada Allah, supaya pengaruh budaya konsumerisme dan komersialisme serta tarikan budaya hiburan, muzik dan tarian menjelang Hari Raya tidak menjejaskan makna sebenar berpuasa dan berhari raya.
4.21 Tradisi “balik kampung” menjelang Hari Raya atau cuti-cuti am rakyat Malaysia yang mengeratkan hubungan silaturrahim dan mengukuhkan persaudaraan serta perpaduan masyarakat kota dan desa; tradisi ini memberikan pendedahan yang penting kepada generasi muda yang lahir di kota-kota besar untuk mengenali kehidupan, budaya dan adab masyarakat luar bandar termasuk peluang menziarahi tanah perkuburan orang-orang tua dan nenek moyang mereka.
4.22 Adab dan akhlak generasi muda yang mempunyai sikap mengenang budi, bersyukur kepada Tuhan dan manusia, tahu menunjukkan kesetiaan, penghormatan dan kelakuan yang bersopan dan berbudi bahasa terhadap ibu bapa, para guru, para pemimpin, orang tua, orang miskin, tetamu di rumah, orang kurang upaya, orang sakit dan anak-anak kecil tanpa mengira kaum atau agama; kekhuatiran para pemimpin dan ibu bapa di Malaysia dewasa ini tentang semakin merosotnya adab dan kesopanan, budi bahasa yang baik, sikap hormat dan bertimbang rasa terhadap orang lain di kalangan generasi muda Malaysia mempunyai asas yang kukuh kerana buktinya banyak dan tidak sukar ditemui.

5. KEUTUHAN MORAL DAN CABARAN-CABARAN TERHADAPNYA



Dalam perjalanan menuju matlamat kemajuan yang diidam-idamkan, masyarakat Malaysia dan umat Islam di dalamnya sedang berhadapan dengan gejala keruntuhan moral yang sungguh mengkhuatirkan. Ramai pemuda Melayu dan Bumiputera terperangkap dalam jeratan budaya penagihan dadah dan HIV/AIDS. Parti-parti politik digugat oleh amalan tak bermoral yang disebut sebagai “politik wang”. Pentadbiran kerajaan dan perkhidmatan awam digugat oleh wabak rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga kerajaan terpaksa mewujudkan suatu Pelan Integriti Nasional dan sebuah institut untuk mengkaji langkah-langkah pelaksanaan pelan tersebut. Sektor swasta juga tidak terlepas daripada amalan rasuah dan skandal-skandal pengurusan dan kewangan. Pasaran saham digugat oleh manipulasi-manipulasi pihak yang ingin meraih keuntungan secara tidak beretika. Pekerja-pekerja asing diperlakukan sebagai hamba abdi dan pembantu-pembantu rumah diperkosa atau didera. Penderaan seksual sering menimpa pekerja perempuan dan banduan-banduan juga tidak bebas daripada tindakan-tindakan tidak bermoral ke atas mereka. Pembeli-pembeli rumah ditipu oleh pemaju-pemaju dengan pelbagai cara yang tidak beretika. Alam semulajadi musnah akibat diperkosa oleh proses pembangunan dan industri yang mementingkan keuntungan dan mengenepikan nilai-nilai moral dan kemanusiaan. Muda mudi Melayu hebat berpesta tanpa segan silu tetapi lemah dalam bidang ilmu pengetahuan. Perjudian dan pelacuran tidak dapat dibendung. Gejala sumbang mahram menjadi-jadi. Kes pembuangan bayi hasil daripada perhubungan seksual haram bertambah. Murid sekolah sering terlibat dalam vandalisme, keganasan dan amalan buli yang melampau. Pelajar-pelajar IPTA dan IPTS terlibat dalam aktiviti seksual di luar kampus untuk menambahkan wang perbelanjaan hidup. Peminjam wang kerajaan malas dan enggan membayar hutang mereka. Pelbagai jenis perbuatan tidak beretika melibatkan pengusaha, pedagang, peniaga dan ahli korporat dilaporkan di akhbar hampir setiap hari. Banyak lagi kes-kes penipuan dan kemungkaran lainnya yang memalukan dapat disenaraikan di sini tetapi ruang tidak mengizinkan.

Kesimpulannya ialah kita berhadapan dengan suatu kenyataan yang pahit: bahawa masyarakat Malaysia dewasa ini sedang menghadapi ancaman kemerosotan moral yang semakin meningkat dan dalam kes-kes tertentu semakin parah akibat dari kelunturan nilai-nilai murni dan kegagalan dalam penguatkuasaan undang-undang. Begitu juga dengan kes-kes jenayah mencuri, meragut, merompak, merogol dan membunuh. Keselamatan rumah tangga, kanak-kanak, harta benda, diri manusia dan persekitaran semakin tercabar oleh peningkatan kadar jenayah. Ancaman kemerosotan moral ini memberikan peringatan atau amaran awal yang jelas kepada kita bahawa sekiranya rakyat dan pemerintah tidak dapat meningkatkan keutuhan atau kekuatan moral masyarakat kepada keadaan yang lebih baik, negara akan berhadapan dengan krisis keruntuhan moral yang lebih besar. Beberapa cabaran besar terhadap keutuhan moral dan kekuatan etika masyarakat Malaysia dari perspektif akhlak Islam dapat dirumuskan seperti berikut:-

5.1 Cabaran daripada Arus Globalisasi, Liberalisasi dan Westernisasi



Arus-arus ini jelas membawa nilai-nilai budaya dan moral yang tidak mementingkan ajaran agama atau tata susila ketimuran yang menghormati tradisi-tradisi yang dianggap mulia. Nilai-nilai dan produk-produk tamadun yang berkaitan dengan seni, hiburan dan gaya hidup yang dibawa masuk ke dalam budaya kita banyak diwarnai oleh faham kebendaan, faham kebebasan individu manusia, faham kebebasan akal yang terlepas daripada bimbingan agama atau wahyu, konsumerisme, dan faham kebebasan sains dan teknologi daripada kawalan etika dan agama. Saluran yang digunakan untuk menyebarkan faham-faham atau trend-trend sekularisasi ini ialah institusi-institusi ekonomi, politik, pendidikan, media massa, industri hiburan, sukan antarabangsa dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Gaya hidup golongan menengah dan golongan belia-beliawanis masyarakat Malaysia menjadi sasaran utama arus globalisasi nilai-nilai sekularisasi dan liberalisasi.

Oleh itu kefahaman agama yang betul dan penghayatan nilai-nilai agama dan moral di kalangan golongan muda menjadi satu daripada strategi penting dalam menjaga dan meningkatkan keutuhan moral masyarakat Islam. Di samping itu, cara menyampaikan ajaran agama Islam kepada generasai muda hari ini dan juga golongan menengah Islam mestilah dilakukan dengan mengambilkira cara berfikir, minda dan psikilogi kedua-dua golongan itu. Mereka hendaklah didekati dengan cara yang mesra pelanggan, simpati, sabar, rasional dan tidak memaksa. Guru agama dalam era globalisasi dan IT ini harus mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang kemajuan sains, teknologi maklumat, kebudayaan, politik antarabangsa dan perkembangan ekonomi serta mempunyai kebolehan berkomunikasi secara bijaksana dengan golongan belia dan kelas menengah.







5.2 Cabaran daripada Penyalahgunaan Internet dan Telefon Bimbit



Pengunaan Internet dan telefon bimbit yang semakin meluas dalam masyarakat Malaysia adalah suatu perkara yang membanggakan selagi para pengguna menjadikan kehebatan teknologi maklumat ini sebagai sumber menambah ilmu pengetahuan dan maklumat, perniagaan maya, komunikasi dan pendidikan maya yang global dan pantas, dan perluasan jaringan kerjasama antarabangsa dalam pelbagai kegiatan yang baik, berguna dan bermanfaat untuk diri, masyarakat, agama dan negara. Yang menjadi masalah kepada budaya dan moral masyarakat Islam ialah aspek negatif dalam Internet dan penyalahgunaan teknologi komunikasi canggih yang semakin meningkat.

Sebagaimana yang diketahui umum, Internet juga sarat dengan muatan maklumat dan bahan-bahan lucah atau pornografik yang jelas bertentangan dengan ajaran agama atau nilai-nilai moral. Bahan-bahan lucah yang merosakkan nilai-nilai moral itu juga boleh didapati melalui telefon bimbit. Oleh kerana Internet dan telefon bimbit boleh dibawa ke dalam bilik tidur seorang pengguna atau pemuda dan boleh digunakan bila-bila masa secara perseorangan, industri seks haram dan industri perjudian menggunakan Internet dan telefon bimbit untuk menggoda para pengguna, khususnya golongan belia dan generasi muda. Di mana undang-undang manusia ternyata gagal menghalang kemaraan wabak online pornography atau kebebasan berkomunikasi tanpa etika melalui Internet atau telefon bimbit, pertahanan yang terakhir kepada seorang pengguna Muslim ialah kekuatan imannya, kepatuhannya kepada ajaran agama, nilai-nilai murni dan ketaqwaannya kepada Allah. Dengan telefon bimbit pula semua orang boleh terdedah kepada penyalahgunaan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengganggu, menggugat, memfitnah, memaki hamun atau membuat panggilan lucah secara berleluasa tanpa si penerima mengetahui dari mana datangnya gangguan-gangguan tersebut. Cabaran moral yang baru daripada penyalahgunaan Internet juga datang daripada peluang-peluang untuk para pelajar dan pensyarah melakukan pelbagai jenis plagiarisme secara mudah. Kegiatan mencuri maklumat atau menerobos benteng-benteng keselamatan maklumat dalam komputer orang lain semata-mata untuk merasa seronok kerana dapat memberi kesusahan kepada orang lain atau untuk mendapat ganjaran kewangan daripada kelakuan jenayah itu merupakan dimensi jenayah yang baru di abad ke-21. Penyalahgunaan teknologi maklumat masa kini menunjukkan betapa terhakisnya nilai-nilai murni dan akhlak dalam pemikiran dan tindak tanduk sebahagian pengamal teknologi canggih ini. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab moral yang berat dalam menasihati dan memantau anak-anak supaya tidak terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang terdapat dalam Internet dan melalui telefon-telefon bimbit.

5.3 Cabaran daripada Industri Hiburan dan Media Massa



Hiburan merupakan sebahagian daripada keperluan tabii manusia yang bertamadun dan setiap budaya mempunyai jenis-jenis hiburan yang tersendiri. Islam mengiktiraf keperluan tabii manusia ini dan membenarkannya dalam batas-batas tertentu. Batas-batas itu ditentukan oleh perintah Ilahi dan bertujuan mengawal hawa nafsu manusia supaya menjadi hamba Allah yang bersopan, beradab dan berakhlak mulia. Pergaulan bebas lepas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, pakaian dan perhiasan diri yang tidak menghormati nilai-nilai agama; muzik, nyanyian atau pementasan tarian yang bersifat merangsang nafsu berahi (sensate, sexy), yang tidak beradab (vulgar), atau yang mendorong penonton supaya turut sama berhibur secara bebas (permissive), atau menonton VCD yang mengandungi unsur-unsur lucah atau erotik – semua ini melanggar batas-batas hukum dan etika yang terdapat dalam agama Islam.

Pada masa kini industri hiburan tempatan banyak sekali dipengaruhi oleh trend-trend budaya hiburan ala Hollywood atau Bollywood yang bersifat keterlaluan bila diukur dari kacamata agama Islam dan nilai-nilai moral yang murni. Industri hiburan swasta di kota-kota besar juga membenarkan minuman keras digunakan oleh para pelanggan tanpa mempedulikan sama ada mereka itu Muslim atau bukan Muslim. Konsert-konsert anjuran pihak industri swasta sering mengundang para penghibur dari Barat atau Timur yang mendedahkan budaya bebas lepas mereka kepada generasi muda Islam di tanah air kita. Para penghibur tempatan pula suka meniru gaya-gaya baru yang dibawa dari luar. Lambat laun identiti budaya liberal ala Barat atau Bollywood akan menjadi lebih berpengaruh dalam masyarakat Islam di kota. Akhirnya generasi muda Islam tidak lagi tahu menghargai nilai kesederhanaan dan tata susila Islam dalam berhibur sama ada melalui sukan, nyanyian, tarian, teater, filem atau TV.

Saluran-saluran hiburan dan media massa yang dimiliki oleh orang Islam atau kerajaan yang berpandukan pendekatan hadhari memikul tanggungjawab moral dalam menghidangkan program atau iklan-iklan hiburan yang tidak melibatkan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai-nilai moral. Filem-filem dan program-program TV yang dibanjiri oleh filem-filem Hollywood, Bollywood atau Hong Kong yang membawa mesej keganasan dan keseronokan nafsu merupakan cabaran kepada keutuhan budaya dan moral masyarakat Islam hadhari kerana kandungan mesej dan nilai-nilai yang ditonjolkan itu jelas berlawanan dengan nilai-nilai kesopanan dan ketamadunan dalam pendekatan Islam hadhari.
Oleh itu tanggungjawab mengawal dan menapis bahan-bahan hiburan dari luar itu tidak harus diserahkan semata-mata kepada ibu bapa. Tanggungjawab ini perlu dipertingkatkan oleh pihak yang berkuasa di samping menggalakkan industri hiburan yang menampilkan alternatif-alternatif yang lebih sesuai dengan nilai-nilai moral yang suci lagi mendidik ke arah penghayatan suatu tamadun yang sopan dan beretika. Mesej yang kita perolehi hari ini dari industri hiburan antarabangsa ialah kita harus ketepikan segala norma dan nilai yang menyekat kebebasan kita untuk melakukan apa saja yang dapat memberikan keseronokan nafsu kepada kita sama ada dengan dadah, minuman keras, hubungan seksual atau pergaulan bebas yang bersifat erotik. “Just do it” menjadi slogan baru untuk kebebasan tanpa batas agama, budaya atau moral. Pendekatan Islam hadhari dalam dunia hiburan dan T.V. harus berhadapan dengan cabaran ini dan pihak yang berkuasa yang beragama Islam tidak boleh menanggapnya sebagai suatu perkara remeh-temeh.

5.4 Cabaran daripada Penyalahgunaan Dadah, Minuman Keras dan
HIV/AIDS



Ancaman penyalahgunaan dadah sudah lama menjadi “Musuh Negara Nombor Satu” dan peperangan menentang ancaman ini masih terus dilakukan. Tetapi statistik dan data menunjukkan bahawa gejala ini tetap berada pada tahap yang serius meskipun pelbagai cara telah dilakukan untuk mencegah atau mengurangkannya. Tiap tahun ribuan pemuda, kebanyakkannya orang Melayu, menjadi mangsa najis dadah yang kemudiannya mendorong mereka ke arah gaya hidup yang tidak bermoral dan tidak bertamadun. Banyak kegiatan jenayah dan anti-sosial yang lain berpunca daripada atau berkaitan dengan budaya penagihan dadah. Di samping itu amalan minuman keras yang jelas diharamkan oleh Islam didapati mulai menjangkiti golongan remaja Melayu sewaktu mereka berparti dan berpesta di tempat-tempat hiburan di kota-kota besar.

Peningkatan gejala HIV/AIDS yang rapat kaitannya dengan penyalahgunaan dadah juga semakin serius dewasa ini sehingga pihak yang berkuasa menganggapnya sudah sampai ke tahap darurat. Sebahagian besar pengidap-pengidap penyakit HIV/AIDS ialah orang Melayu yang terlibat dengan gejala penagihan dadah, termasuk mereka yang berada di dalam Pusat-pusat Serenti. Ini menunjukkan bahawa aktiviti hubungan seks sejenis (homoseks) semakin merebak di kalangan orang Melayu walaupun masyarakat Melayu, sebagai masyarakat beragama Islam tahu bahawa dadah itu haram dan hubungan homoseksual itu satu dosa besar yang dikutuk sekeras-kerasnya oleh agama Islam. Keadaan darurat ini telah mendorong pihak kerajaan untuk mengambil langkah-langkah yang drastik bagi mengurangkan penyakit sosial yang merbahaya ini. Langkah-langkah drastik yang dicadangkan ini termasuk a) memberikan suntikan methadone sebagai ganti kepada dadah merbahaya, b) memberikan jarum-jarum suntikan secara percuma, dan c) memberikan kondom percuma supaya penyakit AIDS tidak merebak. Langkah-langkah ini apabila dilaksanakan kelak akan dijalankan di bawah pengawasan rapi pihak berkuasa kementerian berkenaan supaya ia mencapai matlamat yang positif. Walau bagaimanapun pengaruh budaya “gay” yang menggalakkan dan menghalalkan hubungan seks sejenis semakin berkembang di negara-negara Barat dan perkahwinan sejenis sudahpun diiktiraf sebagai sah dari segi undang-undang negara di Belanda, Belgium dan Sepanyol. Negara Kanada dijangka akan mengikut jejak langkah negara-negara Eropah itu. Sikap yang tegas menentang dan mengharamkan gaya hidup “gay” ini di Malaysia perlu mendapat sokongan semua kaum supaya wabak HIV/AIDS dapat dibendung dan keutuhan institusi keluarga dan perkahwinan yang dihormati oleh agama dapat dipertahankan.

5.5 Cabaran daripada Budaya Rasuah, Urus Tadbir Yang Pincang dan Penyalahgunaan Kuasa



Oleh kerana gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa didapati semakin berkembang dan telah menjejaskan imej negara Malaysia, kerajaan telah melancarkan Pelan Integriti Nasional pada tahun 2004 dan mendirikan Institut Integriti Malaysia dalam usaha membenteras amalan-amalan tidak bermoral dan tidak beretika dalam sektor awam dan sektor swasta, di samping meningkatkan budaya pengurusan yang baik dan penyampaian khidmat yang lebih beramanah.

Dengan adanya Pelan Integriti Nasional, semua kementerian kerajaan dan institusi-institusi di bawah kementerian termasuk universiti-universiti awam dikehendaki melaksanakan strategi memperkukuhkan budaya integriti dalam institusi masing-masing. Undang-undang yang mencegah amalan-amalan tidak berintegriti, kod-kod etika yang lebih efektif, peraturan-peraturan yang dilaksanakan secara telus dan konsisten, dan pembaikan sistem gaji dan imbuhan yang saksama perlu diperbanyakkan di samping bertambahnya tindakan-tindakan tegas mahkamah atau pihak berkuasa yang bertindak tanpa segan atau takut ke atas mereka yang terlibat dengan jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Orang Islam, sama ada pentadbir, pegawai kerajaan, peniaga, profesional, ahli korporat atau ahli politik tidak sepatutnya menjadi penerima atau pemberi rasuah untuk mendapat sebarang kepentingan peribadi kerana perbuatan itu merupakan satu daripada dosa-dosa besar yang mengundang kecelakaan di dunia dan azab dan kesengsaraan yang pedih di hari kemudian. Rasulullah (S.A.W.) memberi amaran yang keras apabila beliau bersabda, “Pemberi rasuah dan penerima rasuah, kedua-duanya akan berada dalam api neraka.” Tetapi kelemahan iman, akhlak dan perasaan tamak boleh mendorong seorang Muslim menjadi alpa lalu ia tunduk kepada desakan hawa nafsu yang bakal menghancurkan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Oleh itu contoh yang baik dan tegas yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dan pemimpin masyarakat dalam memerangi gejala rasuah dan membudayakan nilai-nilai integriti dalam pentadbiran kerajaan perlu mendapat sokongan semua pihak, kerana pentadbiran dan kerajaan yang dijiwai oleh pendekatan Islam hadhari ialah pentadbiran dan kerajaan yang bersih daripada rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Tekad kerajaan melalui Pelan Tindakan Nasional untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi birokrasi, tadbir urus korporat dan etika perniagaan, pemantapan institusi keluarga dan kualiti hidup adalah serasi dengan kaedah Islam hadhari dan kriteria ketamadunan dari kacamata Islam. Oleh yang demikian masyarakat Islam di Malaysia harus berusaha mencerminkan kekuatan integriti yang diajar oleh agama Islam supaya ia dihormati oleh masyarakat Barat dan Timur.

5.6 Cabaran daripada Budaya Politik Kebencian dan Kefanatikan



Keutuhan budaya dan moral masyarakat Malaysia juga telah mengalami kerosakan dan kelunturan yang teruk akibat daripada budaya politik kepartian yang penuh dengan amalan fitnah memfitnah, rasuah, maki hamun, tuduh menuduh, tipu muslihat, pembohongan, buruk sangka, hasad dengki dan mengumpat. Perbuatan-perbuatan tidak bermoral ini banyak berlaku menjelang pilihanraya dan dalam kempen-kempen parti politik. Ia juga dicerminkan dalam akhbar-akhbar atau penerbitan milik parti-parti. Ahli-ahli parlimen juga tidak terlepas daripada pengunaan bahasa yang tidak beradab di dalam sesi parlimen dengan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tidak beretika terhadap anggota-anggota parti lawan. Di sebalik perbuatan-perbuatan yang tidak bermoral ini ialah perasaan benci dan buruk sangka yang mendalam terhadap individu-individu atau parti lawan, dasar-dasarnya yang berlainan dan pengikut-pengikutnya yang berfikiran sempit, terlalu emosional dan fanatik. Persaudaraan dan silaturrahmi umat Islam di Malaysia dirosakkan oleh sentimen kebencian yang tebal dan prasangka yang buruk terhadap orang Islam lain yang tidak mengikuti haluan politik yang sama. Budaya hormat-menghormati dan berlapang dada terhadap saudara seagama dan sebangsa telah bertukar kepada budaya permusuhan dan kebencian akibat daripada ketidakmatangan dan kefanatikan berpolitik dalam suatu sistem demokrasi berparlimen yang berlandaskan kepada sistem Inggeris.

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, perbezaan ideologi politik tidak menjejaskan hubungan yang baik dan saling hormat menghormati di antara pemimpin-pemimpin atau pengikut-pengikut parti yang berlainan haluan. Pendirian-pendirian yang berbeza disampaikan dan diutarakan dengan cara yang sopan dan bermoral. Persaingan untuk mendapat atau mempertahankan kekuasaan politik tidak dibenarkan membawa kepada permusuhan mendalam yang memutuskan hubungan keagamaan atau kekeluargaan. Ketinggian tamadun dan adab dapat dilihat daripada perdebatan-perdebatan politik di parlimen atau di media massa yang menekankan hujah-hujah yang rasional, objektif dan menarik tanpa diwarnai oleh api kebencian atau penggunaan bahasa yang kesat dan kasar.

6. PENGETAHUAN TENTANG KEUTAMAAN AKHLAK YANG MULIA



Satu daripada punca berlakunya keruntuhan nilai-nilai murni dalam masyarakat Islam di Malaysia masa kini ialah kurangnya atau lemahnya pengetahuan umat Islam sendiri tentang kedudukan akhlak dalam agama Islam. Islam difahami dan ditanggapi oleh sebahagian umat sebagai sistem ibadah khusus sahaja merangkumi kelima-lima Rukun Islam. Kesempurnaan beragama dirasakan sudah memadai dengan menunaikan sembahyang lima waktu, zakat, puasa dan haji. Isi al-Qur’an dan hadith tentang nilai-nilai akhlak tidak diketahui dan ketinggian akhlak atau budi pekerti pemimpin-pemimpin Islam zaman silam tidak dipelajari. Oleh itu ilmu tentang keutamaan akhlak yang mulia dalam Islam dititikberatkan, perlu diketengahkah dan disebarluaskan dalam masyarakat Islam khususnya dan masyarakat bukan Islam amnya.

Kejahilan orang-orang Islam tentang peri pentingnya akhlak yang mulia sebagai matlamat beragama ditambah dengan kejahilan tentang ciri-ciri serta tanggungjawab orang-orang yang beriman (mukmin) membuka jalan-jalan bagi mereka untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran-ajaran moral yang terkandung dalam al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad (s.a.w.). Apabila dorongan dan asakan hawa nafsu menjadi kuat dan fikiran dikalahkan oleh emosi, mereka tidak berupaya mengawal dorongan-dorongan itu, lalu berlakulah tindak tanduk dan perbuatan yang dilarang oleh agama.

Kajian-kajian yang telah dibuat di Malaysia tentang beberapa gejala sosial di Malaysia masa kini seperti sumbang mahram, penyalahgunaan dadah dan HIV/AIDS menunjukkan bahawa kejahilan ilmu agama di kalangan belia dan orang dewasa juga merupakan salah satu faktor pendorong ke arah perbuatan-perbuatan yang tidak bermoral itu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar